Dalam banyak - banyak hasil karyawan filsuf barat, Plato merupakan filsuf terkemuka dalam sejarah falsafah barat selain mentornya, Sokrates. Beliau terkenal dengan kisah Alegori Gua ( Allegory of the Cave) sebuah cerita yang ditulis dalam bukunya Republik yang membandingkan kesan pembelajaran dan ilmu pengetahuan dengan kesan kekurangan ilmu pengetahuan. Alegori merujuk kepada sesuatu karya seperti cerita, puisi atau gambar yang menggunakan watak dan peristiwa sebagai lambang untuk menerangkan sesuatu yang lebih mendalam/ maksud tersembunyi. (hidden meaning)
Karya ini berkisah tentang beberapa orang yang berada di dalam sebuah gua, mereka diikat dalam gua menghadap dinding gua. Disebabkan kehidupan terikat ini, mereka tidak mengetahui langsung perkara- perkara selain daripada apa yang berada dalam gua. Dengan mengharapkan api yang berada di belakang mereka, yang tidak diketahui siapa yang memasang api tersebut terhasillah bayang- bayang benda- benda tersebut pada dinding itu.
Hal ini menampakkan kesuraman hidup orang- orang yang terikat di dalam gua. Mereka menyangka bahawa bayang- bayang ini adalah benar dan kebenaran hakiki padahal ia hanyalah bayang- bayang. Mereka tidak dapat melihat apa yang sebenarnya berlaku di belakang mereka tetapi hanya dapat berpandu bayang- bayang di dinding gua yang diikat.
Pada suatu hari, salah seorang daripada mereka berjaya melepaskan diri dan keluar dari gua tersebut. Dia sangat terkejut apabila melihat dan merasai cahaya dan bahang matahari buat pertama kali. Ibarat orang Malaysia yang tidak pernah melihat salji. Dia sungguh teruja dapat melihat benda- benda yang sebenar yang jauh lebih benar daripada bayang- bayang di dalam gua dahulu. Ia lebih jelas, ada tekstur, warna, rasa dan bau.
Kemudian dia kembali ke gua untuk mengajak rakan- rakannya keluar dari gua. Anehnya menurut Plato, semua banduan yang masih terikat enggan dan merasakan tidak perlu keluar menggembara dari tempat mereka. Dalam cerita ini Sokrates merumuskan banduan- banduan gua itu akan membunuh sesiapa yang cuba membawa mereka keluar dari gua.
Maksud di sebalik cerita ini adalah orang yang berjaya membebaskan dirinya dan keluar dari gua itu ibaratnya seperti orang yang terpelajar. Dengan ilmu, dia berjaya membebaskan diri dan mendapat lebih cahaya ilmu manakala orang-orang yang belum bebas ibarat orang yang jahil dan meragui seruan orang yang berilmu. Mereka selesa dengan kedudukan mereka walaupun sebenarnya anggota mereka terikat dan apa yang mereka nampak hanyalah bayang-bayang.
Kita ingat kita tahu, tetapi sebenarnya kita tidak tahu ataupun kita tahu hanya sedikit atau kita tahu perkara yang salah yang belum teruji kebenarannya. Sebagai contoh doktrin- ajaran yang tidak boleh dipersoalkan melainkan harus diterima sahaja. Jika ia benar sudah tentu ia dapat melawan hujah-hujah lawan. Sebab itu eloklah kita cuba memikirkan dan berdialog apabila ada sesuatu persoalan untuk menambah baik pemikiran kita supaya lebih jelas dengan perkara tersebut.
Untuk memahami lebih lanjut tentang perkara-perkara yang diutarakan dalam Alegori Gua ini korang boleh lawat page ini
Comments
Post a Comment